Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Sampaikan nasihat agama dengan jujur, ikhlas tanpa ragu
06/06/2025

 


Dalam zaman yang serba kacau ini, nasihat-nasihat agama adalah sangat-sangat diperlukan, asal sahaja nasihat-nasihat itu menepati kehendak-kehendak syarak aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan pendekatan yang digunakan pula tidak berunsur mencerca atau menghasut.

Kerana itu dalam menjalankan tugas seperti berdakwah, adalah mustahak untuk memasang niat bagi menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang yang dinasihati daripada dosa dan kecelakaan, terutama kecelakaan yang amat dahsyat di akhirat.

Demikian antara petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan bersempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi di Istana Nurul Iman, hari ini. 

Terdahulu dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Aidiladha adalah merujuk kepada peristiwa berkorban Nabi Ibrahim dan putera Baginda, Nabi Ismail 'Alaihumassalam.

Dua beranak ini, titah baginda, telah menunjukkan contoh, bagaimana cara untuk mematuhi perintah Allah, sekalipun perintah itu amat berat untuk dibuat.

“Inilah juga yang kita umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dituntut untuk melakukannya, iaitu apa yang disuruh oleh Allah (oleh agama) hendaklah dibuat dan yang dilarang hendaklah ditinggalkan," titah baginda.

Dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan bahawa perkara tersebut telah diperingatkan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 206, tafsirnya : “Apabila dikatakan kepadanya : 'Bertakwalah engkau kepada Allah', maka timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya). Oleh itu, padanlah dia (menerima balasan azab) api Neraka Jahanam dan demi sesungguhnya (Neraka Jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal".

Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah menekankan bahawa oleh agama, kita telah dituntut untuk mengamalkan sikap nasihat-menasihati. Oleh itu, dalam kalangan umat, mestilah ada golongan yang menyuruh kepada kebajikan dan melarang daripada kejahatan.

“Dalam makna, mana-mana orang atau pihak yang berkuasa melakukannya, hendaklah dia melakukannya, jika tidak, dia akan dianggap berdosa, kerana berdiam diri tidak menolong agama Allah," titah baginda.

Ini, dalam titah, selaras dengan janji Allah dalam Surah Muhammad, ayat 7, tafsirnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah (menolong agama-Nya), nescaya dia akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu".

Oleh itu, dalam titah lagi, baginda menyeru kepada para Da'ie atau Mubaligh dan orang-orang yang dipikulkan amanah untuk memelihara agama, supaya mereka menyampaikan nasihat-nasihat agama, dengan jujur dan ikhlas tanpa ragu-ragu atau takut-takut.

“Di saat yang bersukut baik ini, beta ingin mengambil kesempatan mendoakan para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci, semoga mereka berada dalam sihat-sihat sahaja dapat menunaikan ibadat dengan sempurna.

“Alhamdulillah dalam menyambut Hari Raya Aidiladha yang mulia ini, dengan penuh syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan penghargaan yang mendalam, beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang beta kasihi serta ketua-ketua negara dan kerajaan dan juga para dif-dif kerabat.

“Segala doa dan ingatan baik yang diberikan semasa beta berehat, setelah menghadiri Mesyuarat ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia, adalah amat-amat beta hargai," titah baginda.

Dalam masa yang sama, ucapan terima kasih yang sama juga baginda tujukan kepada pihak Institut Jantung Negara Malaysia atas layanan yang amat baik sepanjang keberadaan baginda di sana.

“Akhirnya, beta dan keluarga beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di mana sahaja mereka berada, dengan harapan semoga sekaliannya dalam keadaan bahagia menyambut Aidiladha," titah baginda lagi mengakhiri Titah Perutusan.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto